Wednesday, January 26, 2011

Jangan pinggirkan kanak-kanak disleksia

KOTA BHARU 26 April - Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3 di sini antara beberapa buah sekolah di negeri ini yang menyediakan kelas pemulihan bagi murid-murid sindrom disleksia.
Ia beroperasi sejak awal tahun ini dan buat permulaan membimbing empat orang murid yang bermasalah dalam pembelajaran termasuk dua daripadanya disahkan disleksia agar mereka tidak jauh ketinggalan berbanding rakan-rakan yang lain.
Seorang guru, Wan Noor Han Fandi Wan Yusuf berkata, kanak-kanak itu telah disahkan disleksia dan mendaftar sebagai orang kurang upaya (OKU).
Mereka mempunyai kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memperoleh bantuan RM150 sebulan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kerana mengikuti kelas pemulihan di bawah seliaannya.
Bagi kanak-kanak yang bersekolah di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pula mereka menerima RM150 sebulan daripada JKM.
Katanya, pihak sekolah menyediakan kelas khas untuk membimbing terutama membetulkan kekeliruan antaranya, mengenal huruf dan angka.
''Walaupun baru tiga bulan, terdapat perubahan terhadap sikap dan tingkah laku, misalnya kini mereka lebih berdikari dan berani untuk menjawab soalan guru jika dibandingkan sebelumnya. Misalnya dua orang pelajar yang mengikuti kelas pemulihan di sini berada dalam darjah enam (13 tahun) dan darjah 1 (10 tahun).
''Murid terbabit akan turun ke kelas pemulihan dalam tempoh waktu tertentu daripada kelas biasa untuk mengikuti kelas tersebut yang turut dibantu oleh dua pembantu tenaga pengajar kerana mereka memerlukan sokongan dan pemantauan yang lebih berbanding murid biasa," katanya.
Wan Noor Han Fandi yang berpengalaman sebagai guru pendidikan khas selama lima tahun di SK Seri Wangi, Gua Musang berkata, kanak-kanak terbabit mempunyai masa hadapan yang lebih cerah kerana ibu bapa berusaha menghantar mereka ke sekolah berbanding rakan senasib yang dari segi pendidikan diabaikan oleh keluarga.
''Ibu bapa disaran lebih peka dengan perkembangan anak-anak kerana masalah pembelajaran boleh dikenal pasti ketika di peringkat sekolah rendah lagi supaya mereka dapat mengenal pasti masalah anak masing -masing.
''Bekerjasama dengan pihak sekolah amat digalakkan kerana bagi sesetengah sekolah yang tidak menyediakan kelas pemulihan, murid-murid akan belajar di kelas biasa. Sekiranya guru kelas tidak sensitif dengan kekurangan murid, mereka akan ketinggalan.
''Sebaliknya, jika kedua-dua belah pihak saling bertolak-ansur, murid berkenaan mungkin hanya perlu menjawab lima daripada 10 soalan melalui kerja rumah yang diberikan dan ia mengelak daripada rasa tertekan dan kebosanan," katanya.
Tambahnya, selain SK Kubang Kerian 3, SK Kuala Krai, SK Tanah Merah dan SK Kamel, Pasir Puteh antara sekolah-sekolah rendah di negeri ini yang menyediakan kelas pemulihan disleksia di Kelantan di bawah seliaan JPN.
''Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang mempunyai kelas khas disleksia seliaan JPN atau mendapatkan nasihat daripada JKM untuk menghantar anak-anak ke PDK," katanya.
Menyentuh mengenai ada sesetengah ibu bapa yang enggan mendedahkan anak-anak dengan pendidikan secara normal kerana malu mempunyai anak disleksia, guru tersebut berkata, ia sepatutnya tidak berlaku.
''Ibu bapa tidak perlu malu kerana anak-anak memerlukan bimbingan dengan betul untuk mendidik mereka berdikari. Mungkin semasa kecil ibu bapa boleh menjaga dan mengawasi mereka tetapi apabila mereka meninggal dunia, apakah ada jaminan daripada ahli keluarga yang lain untuk memeliharanya.
''Kita pernah membaca contoh-contoh di negara luar, bagaimana anak-anak OKU semasa kecil boleh hidup berdikari dan menguruskan diri sendiri apabila dewasa kesan daripada usaha ibu bapa yang menghantar mereka ke sekolah pendidikan khas dan tidak bergantung sepenuhnya kepada individu normal," ujarnya,
Wan Noor Han Fandi juga menyarankan, ibu bapa berjumpa dengan pakar kanak-kanak untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut jika mendapati anak-anak bermasalah kerana mereka juga boleh berjaya seperti kanak-kanak lain jika diberi bimbingan dengan betul dan berterusan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment